ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT DI MALAYSIA

Standard

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT MELAYU

Pengenalan

Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting.

Merisik

Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya.

Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.


Cincin belah rotan

Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.


Meminang

Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.

Bertunang


Barangan hantaran

Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.

Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu samada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan.

Beraneka jenis hantaran yang digubah indah
Sirih Junjung

Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda.

 Cincin belah rotan sebagai tanda peminangan

Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.

Akad Nikah

Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam.

Akad nikah sedang dijalankan

Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut, pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah berbunyi “Aku nikahkan dikau�.(nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak �..(mengikut negeri) tunai” dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi “Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.

Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. Selepas itu adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin. Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.


Adat Berinai

Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat.

Berinai curi � diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara terdekat sahaja.

Berinai kecil � diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.

Berinai besar � diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT CINA

Pengenalan

Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.

Merisik

Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.


Meminang

Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.

Bertunang

Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya. Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.

Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.


Majlis Perkahwinan

Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Perkahwinan
Masyarakat Cina

Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu. Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan, pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.

Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.

ADAT PERKAHWINAN MASYARAKAT INDIA

Merisik

Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang berdaftar.


Kunjungan Ke Rumah Pengantin

Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.

Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.

Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.


Ikat Janji

Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.

Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat janji.

Bertunang dan sembahyang
Adat menyuap kanl kande
Sami memberikan ku’gumem

Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.


Parisam

Adat parisam terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Adat pemberian parisam akan diadakan pada hari yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil cumanggali.

Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh bakal pengantin lelaki dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India. Pada masa yang sama alat muzik tradisional seperti naatasawaram dan meelam dimainkan. Pihak perempuan akan menyediakan buyung yang dikenali sebagai puurana kumbum yang diletakkan di ruang tamu. Lampu minyak yang dipanggil sebagai kuttu vilakku diletakkan bersebelahan puurana kumbum sebagai menunjukkan kurniaan tuhan.

Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi. Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.

Tiga upacara penting iaitu mengunjungi rumah pengantin (pen paartal), adat ikat janji (niccayam) dan pemberian hadiah (parisam) merupakan adat yang sering dilakukan oleh masyarakat India. Namun begitu ada di kalangan mereka yang tidak lagi melakukan upacara tersebut untuk mengelakkan pembaziran.


Sebelum Majlis Perkahwinan

Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya :

Kad Jemputan

Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.

Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.

Penyediaan Thaali (Tjrumaanggalyam)

Thaali atau tjirumaangalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant thaali dan sebagainya. Ini disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan masyarakat India. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin adalah dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali.

Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Ini kerana thaali masih boleh dibuat daripada kunyit yang dikatakan lebih selamat dan tidak dicuri orang.

Mukuurtta Kaal

Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter.

Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan lazim seperti sirih pinang, kum kum, kunyit dan sebagainya disediakan. Ahli-ahli keluarga pengantin akan bermohon pada Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa gangguan. Batang kayu diambil dan dibersihkan serta dibuang kulitnya. Lima orang perempuan yang sudah berkahwin akan menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu tersebut dari pangkal hingga hujung. Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara atau mangga menggunakan kain bewarna merah. Kayu akan dipacak sedalam setengah meter dan bahan-bahan tadi akan dimasukkan ke dalam lubang tersebut sebagai lambang kekayaan. Kemudian upacara sembahyang dilakukan oleh pengantin beserta lima orang perempuan tersebut. Sebanyak sembilan jenis bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu minyak dinyalakan. Pada masa yang sama pengantin berikrar akan menjaga alam sekitar sebagai lambang persahabatan dengan alam sekitar. Kebiasaannya adat mendirikan mukuurtta kaal dilakukan di rumah pengantin lelaki.


Selepas Majlis Perkahwinan

Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.

Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan dirobohkan. Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.

Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s